Utama

Michael Bay lamar John Cena jadi bintang utama Duke Nukem

23 January 2018
20:07

Michael Bay lamar John Cena jadi bintang utama Duke Nukem
MALAYGLAMOUR

RAMAI jaguh gusti telah terjun ke bidang lakonan, namun ramai juga yang kecundang.

Hulk Hogan, Roddy Piper dan Triple H antara beberapa nama besar penggusti World Wrestling Entertainment WWE yang mencuba nasib jadi bintang filem namun hakikatnya bakat mereka tidak seberapa.

Satu-satunya penggusti yang berjaya menguasai kedua-dua gelanggang tidak lain dan tidak bukan adalah Dwayne ‘The Rock’ Johnson. Bagaimanapun takhta The Rock mungkin tidak bertahan lama.

Selepas Dave Bautista yang semakin jadi perhatian selepas membintangi Guardians of the Galaxy, kini giliran John Cena yang bakal jadi pesaing The Rock.

Cena pernah membintangi beberapa filem sebelum ini antaranya The Marine, Daddy’s Home dan The Wall namun aura lakonannya belum benar-benar terserlah.

Mungkin rezeki Cena ada pada filem Duke Nukem yang diinspirasikan daripada permainan video popular era 90-an dengan tajuk sama.

Berbeza filem yang pernah dilakonkannya sebelum ini, Cena kali ini disunting penerbit dan pengarah terkenal Michael Bay.

Bay yang yang sebelum ini berjaya mengangkat animasi televisyen Transformers ke layar perak dan memberi wajah baharu kepada Teenage Mutant Ninja Turtle dijangka tidak berdepan masalah bagi menjayakan Duke Nukem.

Kemampuannya mengangkat nama Megan Fox dan Shia LaBeouf mungkin bakal beri tuah sama kepada Cena.

Masih diperingkat rundingan, jika bersetuju Cena akan memegang watak utama Duke Nukem, hero berbadan sasa yang berperang menentang makhluk asing yang cuba menakluk bumi.

Senarai pelakon lain dan siapa yang bakal menduduki kerusi pengarah belum didedahkan.

Selain Bay filem ini akan diterbitkan bersama Andrew Form dan Brad Fuller dengan kerjasama Paramount Pictures.

Categories: Utama

Tagged as:

Leave a Reply