hiburan

Idayu lebih matang, semakin hebat

09 September 2017
03:10

Idayu lebih matang, semakin hebat
Oleh NURUL FADILA AWALUDIN
Foto FAIRUZ IZYANA AYUB .> Malayglamour

LAMBAKAN artis yang hadir daripada pelbagai program realiti televisyen secara tidak langsung telah membuatkan nama Idayu semakin dilupakan sejurus rancangan Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) melabuhkan tirai pada tahun 2005.
Biarpun kurang mendapat perhatian, namun bakat dan kekuatan vokal milik Nur Farah Idayu Yaakob itu berjaya menambat hati peminat sehingga diberikan gelaran Mariah Carey Malaysia.
Jolokan itu bagaimanapun tidak mampu menyediakan laluan pantas buat Idayu mencipta nama. Tambahan, albumnya berjudul Aspirasi turut dipandang sepi sehingga ada yang tidak menyedari kesungguhan wanita kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu untuk bergelar penyanyi.
Dalam masa sama, disebabkan sering berdepan dengan kekesalan kerana gagal mendapat tempat dalam kalangan artis tempatan, Idayu pernah menutup pintu hatinya dari menyertai sebarang program televisyen kerana enggan menanggung kecewa.
Namun, disebabkan sokongan oleh suami, Sharul Fadzil, pelantun lagu Aku Bukan Maria itu menyambut baik peluang menyertai AF Megastar sekali gus dijadikan sebagai platform baginya membuktikan kemampuan sebenarnya sebagai penyanyi.
Tidak hanya itu, wanita berusia 32 tahun tersebut turut tidak menjangkakan peluang membuat persembahan di konsert AF Megastar Homecoming pada Ahad lalu di Royal Theater, Shah Alam, Selangor mendapat sambutan positif.
Idayu turut diberi penghormatan standing ovation (tepukan sambil berdiri) daripada pihak juri iaitu Datuk Ramli MS, Syafinaz Selamat dan Ziana Zain termasuk penonton yang hadir.
KOSMO!: Lama tidak mendengar khabar tentang Idayu. Apakahkah perkembangan anda sekarang?
IDAYU: Saya masih ‘wujud’ dalam industri namun kurang mendapat perhatian. Diharapkan kemunculan dalam AF Megastar akan menjadi platform buat saya untuk membuktikan bakat selain menebus kesilapan yang pernah dilakukan sewaktu menyertai program AF3 dahulu. Tambahan, ini peluang terbaik untuk saya kembali muncul di kaca televisyen dan dikenali semula.
Mengimbau semula ketika awal kemunculan dalam industri, kehebatan vokal yang anda miliki sering dikaitkan dengan bintang Hollywood, Mariah Carey. Bagaimanakah reaksi anda?
Mustahil untuk masyarakat menyamakan suara saya dengan bintang tersohor seperti itu (Mariah Carey). Jika benar kebolehan saya sepertinya, jadi mengapa khalayak seakan sukar untuk memberi peluang untuk serlahkan bakat dalam industri. Namun, saya tetap bersyukur kerana diberi peluang kedua untuk kembali berjuang dalam program ini, sekali gus dapat membuktikan kemampuan kepada penonton.
Apakah yang mendorong anda untuk menerima tawaran terbabit dalam program ini sedangkan hampir 10 tahun tidak terlibat dengan sebarang acara hiburan di kaca televisyen?
Sejujurnya saya ingin lebih mempamerkan kemampuan dalam industri. Disebabkan kurang mendapat pendedahan di kaca televisyen telah membuatkan peminat lupa mengenai saya. Sebelum ini, saya pernah ditawarkan untuk menyertai program Duo Star sebelum ini tetapi takdir menentukan bukan rezeki saya. Sejak itu perasaan kecewa mula timbul sehingga saya menyimpan hasrat untuk tidak menyertai sebarang program realiti di kaca televisyen. Mujur, suami banyak memberi dorongan agar saya kembali semula beraksi di atas pentas dan mengejar cita-cita.

Bagaimanakah perasaan apabila mendapat pujian dan komen positif daripada pihak juri serta standing ovation sewaktu membuat persembahan pada AF Megastar Homecoming Ahad lalu?
Ia merupakan satu perkara yang di luar jangkaan. Secara peribadi saya mengetahui akan kemampuan diri namun, tidak menduga akan mendapat penghormatan sebegitu. Saya berusaha untuk sentiasa melakukan persediaan rapi dan memberikan tumpuan penuh kepada setiap persembahan. Tidak mengira apa sahaja genre muzik, saya akan memberi 100 peratus komitmen agar dapat hasil yang memuaskan dan berkualiti.
Siapakah yang bertanggungjawab menentukan soal pemilihan lagu peserta untuk dipersembahkan?
Kami ada memberikan beberapa senarai lagu yang ingin dipersembahkan, manakala pihak produksi pula bertanggungjawab untuk membuat keputusan dan menentukannya.
Memandangkan program tersebut menggunakan sistem pemarkahan 60 peratus juri manakala 40 peratus undian khidmat pesanan ringkas (SMS), apakah strategi anda bagi menarik peminat untuk mengundi?
Saya faham memandangkan faktor usia sekarang yang kini telah mencecah 32 tahun mungkin menyebabkan golongan peminat terutama belia kurang mengundi. Tambahan, sistem undian SMS juga tidak serancak dahulu dan corak industri juga dilihat kurang mempamerkan program televisyen yang mengaplikasikan cara sebegitu. Pada saya, perkara paling penting ialah memberikan persembahan terbaik dan tidak mengecewakan peminat.
Industri hiburan masa kini mungkin berbeza berbanding awal kemunculan anda terutama melibatkan pengguna media sosial. Adakah anda bersedia berdepan dengan kritikan dan pandangan negatif kelak?
Saya mengambil pendekatan positif dan enggan menghiraukan pandangan negatif mereka. Dahulu jika perkara seperti ini berlaku dan usia yang masih mentah, saya akan menangis dan tertekan. Insya-Allah peluang kedua ini saya akan cuba lakukan yang terbaik dan tidak menghampakan peminat. Tambahan pada usia sekarang saya akan lebih matang dan berusaha menangani situasi berkenaan secara profesional.

https://www.malayglamour.wordpress.com

Categories: hiburan

Leave a Reply